Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah hari ini melakukan kunjungan hormat ke atas bekas presiden Indonesia Bacharuddin Jusuf Habibie.

Bacharuddin atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie adalah presiden Indonesia ketiga, menggantikan Presiden Soeharto dan menjawat jawatan itu bermula 21 Mei 1998 hingga 20 Okt 1999.

Pertemuan itu berlangsung di kediaman BJ Habibie di Jalan Patra Kuningan, Jakarta.

Saifuddin dalam rangka lawatan kerja ke Indonesia selama tiga hari bermula semalam.

Lawatan ke Indonesia itu merupakan lawatan kerjanya yang pertama selepas mengangkat sumpah sebagai menteri luar pada 2 Julai lepas.

Esok, Saifuddin turut dijadual melakukan kunjungan hormat kepada Presiden Indonesia Joko Widodo dan bertemu rakan sejawatannya, Menteri Luar Retno Marsudi.

-- BERNAMA