Tutup

SAINS serbu premis ternakan ikan hiasan didapati mencuri air

SAINS serbu premis ternakan ikan hiasan didapati mencuri air
Kes disiasat di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006. - Gambar hiasan
SEREMBAN: Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) menyerbu sebuah premis ternakan ikan hiasan di Rantau dekat sini pada 25 Sept lepas, selepas dikesan mencuri air dengan melakukan penyambungan paip secara haram.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS Norzita Ismail berkata serbuan itu dijalankan pada pukul 10.30 pagi selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam dan siasatan mendapati penghuni premis melakukan penyambungan haram melalui dua punca sambungan.
"Kedua-dua penyambungan tersebut dilakukan tanpa melalui sebarang meter air dan digunakan di 31 'point' penggunaan air iaitu untuk kegunaan di kolam-kolam ternakan ikan, tandas dan pembinaan kolam baharu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 123 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhi hukuman denda sebanyak RM100,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.
"Pegawai penguatkuasa SAINS turut menjalankan ujian klorin di lokasi berkenaan dan terbukti bekalan air yang digunakan adalah air terawat milik SAINS.

"Pihak SPAN telah menyita semua pepasangan dan punca sambungan yang dibuat sebagai bahan bukti dan mengeluarkan notis makluman kesalahan kepada para penghuni premis berkenaan. Operasi tamat pada pukul 3.30 petang," katanya.

Norzita berkata SAINS akan terus mempertingkatkan pemantauan serta penguatkuasaan terhadap kegiatan curi air di seluruh Negeri Sembilan tanpa mengira kes yang melibatkan pengguna komersial mahupun domestik.

Katanya tindakan tegas yang diambil merupakan salah satu langkah berterusan dalam mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil. SAINS juga mengucapkan terima kasih di atas bantuan dan kesedaran masyarakat bersama-sama membantu mengurangkan kes curi air di negeri ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin melaporkan sebarang kes curi air boleh menghubungi talian bebas tol SAINS 1-800-88-6982.

-- BERNAMA


Tag: syarikat air negeri sembilan, sains, suruhanjaya perkhidmatan air negara, span, pusat ternakan ikan hiasan, rantau, penyambungan air haram, bekalan air



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.