Saintis Malaysia yang berpangkalan di United Kingdom, Dr Serena Nik-Zainal telah dianugerahkan Hadiah Penyelidikan Kanser Dr Josef Steiner 2019 atas kejayaannya menjalankan kajian untuk mempercepat penafsiran holistik genom kanser.

Hadiah yang turut dikenali sebagai 'Hadiah Nobel untuk Kajian Kanser' itu bakal dianugerahkan kepada Dr Serena secara bersama dengan rakan penyelidikan beliau, Dr Paul Calleja dan Dr Ignacio Medina dari University of Cambridge, di University of Bern di Switzerland esok (Jumaat).

Menurut Jabatan Genetik Perubatan University of Cambridge, Dr Serena juga dijadual untuk membentangkan kajiannya ketika majlis penganugerahan nanti.

Kejayaan beliau turut dikongsi Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerusi Instagramnya.


Kajian bertajuk “Accelerating holistic cancer genome interpretation towards the clinic” mendapat perhatian juri memandangkan kajian itu berjaya menganalisis mutasi dalam tumor kanser menggunakan kaedah bioinformatik yang membolehkan pendekatan baru untuk terapi yang disasarkan.

Dr Serena merupakan graduan perubatan di Unit Penyelidikan Kanser, University of Cambridge di bawah tajaan Petronas.

Selepas itu, beliau menyambung pelajaran di Wellcome Sanger Institute (WSI) pada 2009 untuk meneroka kajian kanser payu dara menggunakan whole genome sequencing (WGS).

Beliau kemudiannya dianugerahkan CRUK Advanced Clinician Scientist Fellowship pada 2017 sebelum berpindah ke University of Cambridge.

Di universiti, kepakaran Dr Serena membolehkannya untuk mempercepat penterjemahan genom yang membolehkan beliau melanjutkan kajiannya ke mekanisme fisiologi yang menyokong mutagenesis.