Seorang penolong jurutera bersama penolong jurukur bahan agensi kerajaan direman selama tujuh hari kerana disyaki menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Abdul Hayyi Salim bermula pada Isnin.

Ia bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Suspek dipercayai bersubahat menggunakan jawatan mereka bagi mendapatkan kerja-kerja di jabatannya untuk syarikat isterinya dengan menggunakan nama syarikat pihak ketiga.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara tahun 2015 sehingga 2018.

Terdahulu penolong jurutera yang berusia 40 tahun ditahan pada Ahad kira-kira jam 11.10 pagi di kediamannya di Kuala Terengganu, manakala rakannya yang berumur 38 tahun ditahan kira-kira jam 2.30 petang pada hari yang sama di Pejabat SPRM Kuala Terengganu.