Seorang pengurus besar syarikat berkaitan kerajaan (GLC), yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan menerima sejumlah suapan melebihi RM10 juta, direman lima hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut direman adalah dua kontraktor lelaki, dipercayai terbabit memberi suapan membenarkan mereka meneruskan projek di bawah seliaan suspek utama walaupun gagal menyiapkan kerja dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Perintah reman yang berkuat kuasa hari ini sehingga Selasa itu dikeluarkan Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman selepas ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah di sini.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17 (a) (A) Akta SPRM 2009 kerana menerima dan memberi suapan.

Jurucakap SPRM berkata pengurus besar berusia 56 tahun yang bertindak sebagai konsultan bagi projek pembangunan dan infrastruktur di Putrajaya itu dipercayai terlibat dalam kelulusan projek bernilai ratusan juta sejak menyandang jawatan tersebut pada 2005.

Suspek dilaporkan ditahan pasukan penyiasat SPRM di rumahnya di Seremban kira-kira 9.35 pagi semalam yang turut merampas wang tunai berjumlah RM30,000 dan dua buah kereta jenis Audi TT serta Toyota Hilux dan motosikal berkuasa tinggi Harley Davidson milik suspek.

Suspek juga didakwa memiliki sembilan buah rumah, antaranya di Putrajaya, Kuala Lumpur, Cyberjaya dan Negeri Sembilan yang dipercayai dibeli dengan pembayaran tunai.

Beberapa akaun bank milik suspek dan isteri serta anaknya yang mengandungi wang berjumlah lebih kurang RM2.5 juta yang disyaki diperoleh secara rasuah turut dibekukan.

Mengenai dua kontraktor tersebut, jurucakap SPRM berkata kedua-dua lelaki berusia 51 tahun itu ditahan 12 tengah malam semalam selepas hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini malam tadi.

Seorang daripadanya yang bergelar Datuk merupakan pengarah urusan sebuah syarikat di Ampang, manakala seorang lagi adalah ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat berpangkalan di Semenyih, Selangor. -- Bernama