Seorang bekas guru besar dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah menyalahgunakan wang zakat sumbangan sebuah syarikat yang sepatutnya disalurkan kepada pelajar sekolah rendah.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu ke atas Zabidah Sulaiman, 59, selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu yang melepas dan membebaskan wanita itu pada Jun 2019 daripada pertuduhan.

Mahkamah Tinggi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan mensabitkan Zabidah atas pertuduhan menyalahgunakan wang zakat sebanyak RM5,000 yang disumbangkan Syarikat Ladang Rakyat Terengganu untuk diberikan kepada 100 pelajar Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru 2 di Kemaman.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu ketika bertugas di sekolah tersebut di bilik mesyuarat Syarikat Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd pada 13 Julai 2015 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, dengan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Abdul Wahab membenarkan pelaksanaan hukuman ke atas wanita itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan dan mengenakan jaminan sebanyak RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

-- BERNAMA