Seorang lelaki berusia 23 tahun yang didakwa mengamuk selepas permohonan untuk isterinya bersalin secara pembedahan tidak diluluskan pihak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Sabtu lalu, tampil membuat permohonan maaf hari ini.

"Saya celaru masa tu sebab tengok isteri tengah sakit dan saya memohon maaf kerana tindakan saya ini menyebabkan suami-suami lain tak dapat teman isteri mereka bersalin."

Beliau mengaku bertindak menumbuk dan merosakkan pintu bilik bersalin serta tidak mengendahkan arahan menunggu di luar wad selepas insiden berlaku.

Dek tindakannya itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah tidak lagi membenarkan ibu bersalin ditemani individu di hospital tersebut.

Beliau berkata, emosinya yang tidak dapat dikawal ketika itu menyebabkannya bertindak sedemikian.

"Saya benar-benar mohon maaf dan harap pihak HSB dapat tarik balik larangan yang telah dikeluarkan," katanya ketika sidang media di HSB di sini hari ini.