Semua penduduk rumah panjang, tanpa mengira kecenderungan politik, perlu merapatkan kembali hubungan dan bersatu padu setelah berakhirnya pilihan raya umum dan sempena kedatangan sambutan Gawai Dayak pada 1 Jun ini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata hubungan sesama mereka boleh dieratkan kembali jika mereka mengelak daripada berbahas tentang politik.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis makan malam amal anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Meluan di dewan sekolah itu di Nanga Meluan, di sini malam tadi.

Program itu merupakan tugas rasmi pertama beliau sejak mengekalkan kerusi parlimen Julau bagi penggal keempat setelah mengalahkan dua pencabarnya dengan dengan majoriti 5,955 undi.

Salang juga menasihati ketua rumah panjang agar tidak mengambil hati dengan tindakan segelintir anak buah mereka yang tidak mengundi Barisan Nasional (BN) atau membalas dendam dengan menyisihkan mereka.

"Layani mereka seperti anda melayan orang lain di rumah panjang anda. Ini untuk mengelak berlakunya perpecahan di rumah panjang anda," katanya.

Salang berkata beliau gembira kerana tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini di kawasan luar bandar ketika berlangsungnya pilihan raya umum baru-baru ini.

Mengenai pendidikan, Salang menasihati ibu bapa supaya bekerjasama rapat dengan PIBG bagi membolehkan anak mereka belajar dalam persekitaran paling kondusif dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran.

Salang berkata beliau akan terus menawarkan insentif pembelajaran kepada pelajar di kawasan parlimen itu yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan PMR.