Salinan laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 28 Mac lalu boleh mula dimuat turun dari laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mulai hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam satu kenyataan hari ini berkata sehubungan dengan kelulusan oleh Dewan Rakyat, perintah tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan telah diwartakan untuk berkuat kuasa mulai 29 Mac 2018 selaras dengan peruntukan Seksyen 12, Bahagian II, Jadual Ketiga Belas, Perlembagaan Persekutuan.

"Orang awam boleh memuat turun salinan Laporan Kajian Semula Persempadanan Mengenai Syor-Syor Yang Dicadangkan Bagi Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Persekutuan dan Negeri Di Dalam Negeri-Negeri Tanah Melayu Kali Keenam Tahun 2018 dari laman web rasmi SPR iaitu www.spr.gov.my mulai 31 Mac 2018," katanya.

Susulan daripada pewartaan perintah itu juga, pengemaskinian daerah-daerah mengundi telah dilaksanakan oleh SPR dan diwartakan pada 30 Mac 2018 selaras dengan peruntukan Seksyen 7 (1) dan (2), Akta Pilihan Raya 1958 [Akta 19].

-- BERNAMA