KUALA LUMPUR:Penulis dan penyair Salleh Ben Joned meninggal dunia akibat kegagalan jantung, hari ini.

Beliau yang berusia 79 tahun menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Subang Jaya, pada 1.21 pagi tadi.

Menurut keluarganya, arwah Salleh mengalami kesukaran bernafas ketika berada di rumahnya sebelum dibawakan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan disahkan meninggal dunia.

Jenazah Salleh akan disembahyangkan di Masjid Abu Bakar As-Siddiq, Subang Jaya pada pukul 10 pagi.

Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hanya keluarga dan saudara dekat sahaja dibenarkan untuk menyertai proses pengebumian.

Salleh, juga pernah berlakon filem, adalah seorang yang berani dan seringkali dilabel sebagai 'bad boy' sastera Malaysia oleh ramai pihak.

Beliau juga banyak mengkritik pantang larang mengenai bangsa, agama, seksualiti dan beberapa isu lagi.