Tiada sebab untuk pembayar zakat menyalurkan zakat mereka kepada pihak lain selain pusat pengumpulan zakat yang diiktiraf.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) Mohd Rais Alias berkata ini kerana pihaknya sudah berusaha secara berterusan untuk memperbanyakkan saluran bagi pembayaran zakat.

"Bukan sahaja setakat melantik pihak-pihak yang boleh mengumpul zakat seperti bank dan pejabat pos, kami juga menyediakan cara-cara atas talian bagi memudahkan pembayar zakat.

"Kami juga ada menyediakan aplikasi telefon pintar untuk pembayaran zakat," kata Rais.

Tambahnya, zakat wajar disalurkan ke pusat pengumpulan yang diiktiraf agar ia boleh diagihkan secara sistematik kepada golongan asnaf.

"Jika seseorang itu bayar sendiri secara terus kepada golongan asnaf, kami risau pihak yang menerima zakat tersebut hanya akan menerima bantuan hanya sekali sahaja.

"Lebih baik untuk maklumkan kepada pihak kami agar golongan asnaf ini boleh didaftarkan untuk menerima bantuan secara berterusan selagi layak menerimanya," jelas Rais.

Selain itu, beliau menerangkan pihak Baitulmal juga ada menubuhkan Skuad Jejak Asnaf yang sentiasa turun padang bagi mengenalpasti golongan yang layak menerima bantuan zakat.

"Proses ini dilaksanakan pihak kami sepanjang tahun dan amat mudah," kata Rais ketika ditemui di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara PPZ-MAIWP dan MyEG Services Berhad serta majlis Iftar bersama anak-anak yatim.

Untuk butiran lanjut, sila layari www.zakat.com.my.

Bagi menghubungi Skuad Jejak Asnaf, sila dail 012-512 7614dan 012-518 3614.

PPZ-MAIWP hanya bertanggungjawab untuk mengumpul zakat manakala Baitulmal akan mengagihkannya kepada pihak yang layak menerimanya.