Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said menegaskan beliau tidak kisah jika gelaran Sasterawan Negara ditarik balik seperti yang dikehendaki pihak-pihak tertentu.

"Gelaran Sasterawan Negara itu hanya untuk duniawi sahaja tidak boleh dibawa ke dunia baqa," kata beliau kepada Astro Awani.

Beliau dianugerahkan gelaran Sasterawan Negara pada tahun 1986 atas sumbangannya dalam dunia sastera.

Pada 1976, beliau dianugerahkan gelaran Pejuang Sastera dan pada tahun 1979 Pak Samad memperolehi Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards).

Beliau turut dianugerahkan gelaran Datuk oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka pada pada 1997.

Sebelum ini pada tahun 2009, ketika berjuang untuk menghapuskan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Pak Samad pernah berkata beliau akan terus berjuang mendaulatkan bahasa ibunda biar pun gelaran Sasterawan Negara yang diberi kerajaan ditarik balik.

"Saya sanggup dengan rela diri sekiranya ada orang ingin menarik balik gelaran Sasterawan Negara asalkan bahasa ibunda saya dikekalkan.

"Tiada gunanya gelaran tersebut kerana ia bukannya milik kekal dan saya adalah 'Sasterawan Rakyat' yang akan terus berjuang demi anak cucu bangsa Melayu.

"Saya bimbang sekiranya kita tiada nanti, anak cucu kita akan hairan apakah bahasa ibunda mereka nanti," katanya pada sidang media di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR 10 pada Februari 2009.

Sementara itu ketika mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mendakwa beliau menyelinap masuk masuk ke dalam rumah pada tengah malam Selasa, beliau yang lebih dikenali sebagai Pak Samad melahirkan rasa kecewa dengan dakwaan tersebut.

Pak Samad menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Khalid dan menjelaskan berada di rumah sepanjang malam terebut.

"Bapak kecewa dengan tuduhan itu," kata beliau.