Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said menafikan bahawa beliau bersembunyi dan melarikan diri dari polis berhubung insiden kibaran bendera ‘Sang Saka Malaya’ pada malam Hari Kebangsaan pada 30 Ogos lalu.

Beliau yang lebih mesra dipanggil Pak Samad ketika dihubungi Astro Awani menyatakan bahawa beliau tidak pernah lari dan tidak kemana-mana pun.

“Ada laporan dalam Malaysiakini mengatakan Ketua Polis Negara sebagai berkata saya lari dari polis dan ini tidak benar kerana saya tidak pernah lari malahan semalam saya berada di jalanan, menaiki LRT dan kemudiannya berada di rumah,” kata Samad.

Menurutnya, tiada arahan rasmi dari polis malah tiada juga panggilan atau perjumpaan dari pihak berkenaan.

“Bagi saya adalah tidak benar untuk mengatakan saya menyembunyikan diri dan itu hanya andaian mereka sahaja,” katanya lagi.

Ketika ditanya samada perbuatan mengibarkan bendera ‘Sang Saka Malaya’ itu adalah salah atau betul, Pak Samad menjawab, “Saya tidak mahu menyatakan ianya tidak betul kerana setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan pendiriannya dan saya sangat menghormatinya. Jikalau kamu berdiri di pihak polis, itu dianggap salah tetapi jika kamu berdiri di pihak kami pula, ianya mungkin betul,”.

Awal pagi ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta Sasterawan Negara, Datuk A.Samad Said supaya menyerah diri untuk membantu siasatan insiden kibaran bendera alternatif ‘Sang Saka Malaya’ pada malam Ambang Merdeka yang lalu.

Polis Kuala Lumpur juga telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat insiden mengibarkan bendera rekaan pihak tidak bertanggungjawab pada malam sambutan Hari Kemerdekaan ke-56 di Dataran Merdeka

Semalam pula, aktivis politik Hishammuddin Rais dan aktivis pelajar Adam Adli ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi membantu siasatan mengenai kes tersebut.

Kedua-dua kemudiannya dibebaskan selepas diambil keterangan oleh pihak polis.

Memetik laporan Bernama, polis mahu Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said menyerah diri bagi membantu siasatan polis berhubung insiden mengibar bendera selain Jalur Gemilang pada malam sambutan Ambang Merdeka di sini Jumaat lalu.

"Sebelum kami menangkapnya, lebih elok kalau beliau menyerah diri.Lagipun, kita anggap kalau berani cabar undang-undang, maka beranilah juga untuk (beliau) tampil ke depan," kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perbarisan tamat latihan dan pentauliahan Kor Sukarelawan Siswa-siswi Polis (Suksis) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Kesembilan di sini hari ini.

Menurutnya, sasterawan itu merupakan antara tiga individu yang dilaporkan dilihat dalam insiden berkenaan.

Dua individu lain iaitu aktivis propembangkang Adam Adli Abdul Halim dan Hishamuddin Rais ditahan polis malam semalam di Kampung Baru di sini dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Khalid berkata siasatan kes juga mungkin dijalankan tidak hanya mengikut Akta Hasutan 1948, malah mencakupi peruntukan undang-undang lain melibatkan bendera dan lagu kebangsaan.

"Kini mereka (Adam dan Hishamuddin) sedang disoal siasat," katanya.

Pada sambutan malam kemerdekaan Jumaat lalu, sekumpulan aktivitis propembangkang dilihat bertindak mengibarkan bendera lain bagi menggantikan Jalur Gemilang di Dataran Merdeka di sini.

Rakaman video berkaitan insiden itu telah dimuat naik di laman sosial.