KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihat untuk mengamalkan cara hidup sihat dan amalan kebersihan diri yang baik bagi memastikan musim perayaan dan cuti sekolah dinikmati dengan sempurna.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata persekitaran rumah perlu bersih untuk mengelakkan pembiakan nyamuk yang boleh menyebabkan denggi, chikungunya, malaria dan lain-lain penyakit bawaan vektor.

"Gunakan kesempatan berkumpul bersama sanak saudara untuk sama-sama membersihkan kawasan persekitaran di samping mengeratkan tali silaturahim.

"Keselamatan rumah juga perlu diberi perhatian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini semasa bercuti," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata penyediaan juadah perlu menggunakan bahan mentah yang segar dan dimasak dengan sempurna, selain makanan perlu dimakan dalam tempoh empat jam dari masa penyediaannya.

Makanan yang mahu disimpan perlu diletakkan pada suhu selamat dan hendaklah dipanaskan pada suhu dan jangkamasa yang betul sebelum dimakan, katanya.

Dr Noor Hisham berkata konsep 'Lihat, Hidu dan Rasa' perlu diamalkan untuk mengelakkan keracunan makanan serta perlu mencuci tangan dengan betul bagi mencegah penyakit berjangkit yang merebak melalui sentuhan dan cecair pernafasan.

Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk menziarahi jiran dan sanak saudara dengan berjalan kaki bagi meneruskan cara hidup aktif, kawal kuantiti makanan yang diambil, makan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan, minum air kosong dengan banyak serta kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan gula, lemak dan garam.

"Sayangi diri dan orang tersayang di sekeliling anda daripada bahaya asap rokok dengan meneruskan semangat dan tabiat berhenti merokok selaras dengan saranan Nafas Baru Ramadan," katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan, pandu dengan cermat dan tenang, kawal perasaan marah dan wujudkan suasana harmoni bersama keluarga semasa dalam kenderaan.

-- BERNAMA