Insiden pegeboman dan tembakan yang berlaku sejak seminggu lalu di selatan Thailand tidak menjejaskan aktiviti dan sambutan Aidilfitri di sempadan Malaysia-Thailand.

Samada penduduk di Rantau Panjang atau penduduk di Sungai Golok yang setiap hari berulang alik melalui sempadan, insiden berkenaan dianggap perkara biasa.

Malah sambutan Aidilfitri oleh umat Islam di selatan Thailand berlangsung dalam suasana meriah dan tradisi kunjung mengunjung diteruskan seperti biasa.

Bagi rakyat Thailand, kekecohan yang berlaku itu bermusim dengan sasaran kepada pihak tertentu.

"Kita menganggapnya seperti perkara biasa dan tidak terasa takut atau bimbang. Dia bukan tuju kepada rakyat namun kalau terkena, nasiblah. Jadi tidak ada masalah, kita semua boleh sambut Hari Raya seperti biasa," kata seorang peniaga warga Thailand, Sufian Mat Zin.

Dalam pada itu orang ramai dinasihatkan untuk tidak berkumpul di kawasan sibuk bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

"Kami tidak ada masalah cuma janganlah pergi ke tempat yang sibuk. Sambutan Hari Raya adalah seperti biasa, tiada masalah," jelas Mahadi Hussin.

Baru-baru ini berlaku letupan di daerah Weng, berhampiran sempadan yang mencederakan seorang rakyat Thailand.

Sebelum itu media Thailand melaporkan berlaku insiden tembakan yang turut mengorbankan nyawa di wilayah Narathiwat dan Pattani beberapa hari sebelum Aidilfitri.