Sebagai langkah berjaga-jaga terhadap sebarang kemungkinan ekoran masalah jerebu, kerajaan Sarawak telah melaksana pelan alternatif bagi sambutan Hari Malaysia 2019 pada 16 September ini.

Berdasarkan perancangan awal, sambutan hari kebesaran itu diadakan di Padang Merdeka, Kuching.

Bagaimanapun, berikutan beberapa faktor iaitu cuaca yang tidak memuaskan dan keadaan jerebu di sesetengah kawasan di Sarawak, lokasi sambutan ditukar ke Stadium Perpaduan Kuching.

Selain sebagai langkah berjaga-jaga, perubahan lokasi itu juga adalah berteraskan dasar mengutamakan kesihatan rakyat.

Dalam masa sama, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, memberi jaminan perubaha itu tidak menjejaskan segala persiapan sambutan gilang-gemilang itu.

“Jerebu diramal akan berterusan sehingga penghujung September. Lebih 100 titik panas dikesan di Kalimantan, dan faktor pergerakan angin ke Sarawak juga mainkan peranan.
"Dengan itu sambutan Hari Malaysia tidak sesuai diadakan di Padang Merdeka,” katanya dalam kenyataan media yang diedarkan pada Rabu.

Majlis sambutan Hari Malaysia 2019 peringkat nasional yang diadakan di bandaraya ini akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dijangka hadir pada acara berkenaan.