Sambutan Tahun baru Cina di negara ini secara keseluruhannya disambut meriah walaupun di beberapa kawasan dalam negeri tertentu ia diraikan secara sederhana.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor turut mengambil kesempatan menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina anjuran MCA di sini hari ini.

Mereka disertai Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang diadakan di Wisma MCA, Jalan Ampang.

Mereka disambut barisan kepimpinan tertinggi MCA yang diketuai Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai, sambil diiringi persembahan tarian singa.

Najib, Rosmah, Muhyiddin dan Noorainee yang meluangkan masa kira-kira sejam turut bersama beberapa pemimpin tertinggi komponen Barisan Nasional (BN) termasuk Liow dan Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel menggaul salad ikan mentah 'yee sang,' hidangan utama musim perayaan yang dianggap juadah membawa tuah dalam kalangan masyarakat Cina.


Turut hadir memeriahkan majlis sambutan termasuk Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam serta Naib Presiden Kanan Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri Maglin Dennis D'Cruz.

Di Pulau Pinang, kedatangan Tahun Kambing disambut meriah dengan kehadiran lebih 8,000 tetamu di rumah terbuka anjuran Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Pusat Konvensyen dan Pameran Arena (Spice) di Bayan Baru.

Majlis yang bermula jam 10.30 pagi hingga 1 tengah hari itu dimeriahkan dengan kehadiran tetamu daripada pelbagai kaum. Selain dihidangkan dengan pelbagai juadah makanan, tetamu juga dihiburkan dengan tarian singa dan persembahan tarian pelbagai budaya.

Turut hadir di majlis sambutan itu, yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff serta Timbalan Ketua Menteri I dan II, Datuk Abdul Rashid Hasnon dan Prof. Dr. P. Ramasamy serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Sementara itu di di Melaka, sambutan Tahun Baru Cina dirai meriah oleh pelbagai kaum dan lapisan masyarakat di Dewan Sekolah Menengah Pay Fong di Jalan Kubu.

Majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 pengunjung itu turut dihadiri Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai; Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, barisan kepimpinan MCA negeri dan exco kerajaan negeri Melaka.

Penganjuran rumah terbuka yang diadakan saban tahun di sekolah berkenaan adalah sinonim dengan budaya kunjung-mengunjung dalam masyarakat majmuk di negara ini demi mengeratkan hubungan.

Lain pula keadaannya di Kelantan, apabila rata-rata sambutan dibuat secara sederhana berikutan proses pemulihan banjir yang melanda negeri itu pada penghujung tahun lepas masih dijalankan.

"Ramai masyarakat Tionghua kehilangan rumah akibat bencana itu dan kerana itulah mereka menyambut Tahun Baru Cina secara sederhana," kata Setiausaha MCA Kelantan Datuk Lua Choon Hann.

Beliau berkata, MCA turut mengagihkan angpau RM500 kepada kira-kira 500 keluarga masyarakat Tionghua yang terjejas banjir di Gua Musang, Kuala Krai dan Kota Bharu.

Di Sabah, antara yang mengadakan majlis rumah terbuka hari ini ialah Parti Liberal Demokratik (LDP), parti Gerakan negeri dan Parti Bersatu Sabah (PBS) kesemuanya di Sandakan yang dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Esok, Musa akan menghadiri majlis rumah terbuka PBS dan MCA Bahagian Penampang di Kota Kinabalu.

Di Perak, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengunjungi rumah terbuka Tahun Baru Cina yang dihoskan Tan Sri Kong Cho Ha di kediaman bekas menteri pengangkutan itu di Sitiawan.

Suasana meriah dirasai di situ dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum sejak awal lagi dengan pelbagai juadah antaranya sate, roti jala, dan buah limau.

Tidak ketinggalan, di Sarawak, ribuan pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat menghadiri rumah terbuka Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) di ibu pejabat parti itu di Jalan Tan Sri Ong Kee Hui, Kuching sejak seawal 8.30 pagi.

Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian bersama bersama beberapa anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti beramah mesra dengan pengunjung yang datang memeriahkan sambutan kali ini termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Selain SUPP, beberapa rumah terbuka turut diadakan di sekitar Kuching termasuk anjuran Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk J.C. Fong dan Temenggung Kaum Cina Bahagian Kuching, Lu Kim Yong.

Sementara itu di Kuala Lumpur, cuti perayaan Tahun Baru Cina merupakan kesempatan berharga buat warga kota yang tidak ke mana-mana untuk mengisi waktu kualiti bersama keluarga.

Selain warga kota, ada juga pengunjung yang datang ke ibu negara dari negeri lain untuk memanfaatkan waktu senggang.

Mereka mengunjungi beberapa lokasi popular di sekitar Kuala Lumpur termasuk taman rekreasi awam dan pusat beli belah terkenal yang menjadi tarikan pelancong.