Sampah dan sisa projek pembangunan mega antara punca utama berlakunya banjir kilat di Kuala Lumpur.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, plastik-plastik yang menyebabkan lubang laluan tersumbat di beberapa kawasan di Kuala Lumpur menjadi faktor utama berlakunya banjir kilat hampir setiap kali hujan lebat melanda bandar raya ini.

Beliau berkata, terdapat beberapa lokasi di sekitar ibu kota yang sering dinaiki air termasuk kawasan sekitar Balai Polis Travers (berdekatan Muzium Negara), Tun Razak Exchange di Jalan Tun Razak.

"Laluan air bertakung di hadapan Tun Razak Exchange (projek mega), contohnya adalah antara faktor pendorong berlakunya banjir," katanya.

Nor Hisham berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Menteri Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Khalid Abdul Samad di sini, hari ini.

Nor Hisham berkata pelbagai langkah telah dilakukan oleh DBKL dalam membantu pihak yang terbabit ketika menghadapi masalah ini.

"Kami telah memberi bantuan kepada pihak utiliti seperti MRT (Mass Rapid Transit) ketika menghadapi masalah gangguan perkhidmatan disebabkan oleh banjir kilat," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata antara langkah untuk menangani masalah banjir kilat termasuk pembinaan kolam takungan (retention pond) supaya air dapat mengalir masuk dan kawasan rendah tidak dinaiki air apabila hujan lebat.