Keputusan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melawan isterinya sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi jawatan Presiden PKR pada pemilihan pucuk pimpinan parti itu Mei ini menimbulkan tanda tanya bukan hanya kepada mereka yang mengikuti perkembangan politik tanah air tetapi juga ahli-ahli dan penyokong parti itu sendiri.

Umum mengetahui, Anwar dan Wan Azizah adalah suami isteri dari dulu hingga sekarang. Biarpun apa-apa yang berlaku, Wan Azizah masih isteri Anwar dan beliau sering digambarkan sebagai seorang isteri yang setia dan sentiasa memberi sokongan kepada suaminya biar pun dalam saat getir.

Tetapi apabila kedua-duanya memutuskan untuk bersaing sesama sendiri bagi jawatan presiden PKR, ia telah mengejutkan semua orang, terutama ahli-ahli dan penyokong-penyokong PKR. Keputusan yang diambil oleh pasangan suami isteri itu kemudiannya diberi gelaran 'Segambut Move' atau 'Langkah Segambut'.

Ada yang menganggap, keputusan suami lawan isteri ini, dibuat dari dapur banglo di Bukit Segambut. Ketika si suami dan isteri sedang bersarapan, yang mungkin juga disertai oleh anak-anak, maka keputusan dibuat, ada individu perlu disekat kemaraannya, kepentingan isteri dan anak dalam parti perlu dijaga, maka skrip ditulis, suami perlu dilihat akan menentang isteri. Tetapi, selepas pencalonan ditutup, akan ada yang menarik diri dan ada individu yang terlepas peluang untuk bersaing jawatan presiden.

Ramai tidak senang dengan alasan yang diberikan, kononnya Wan Azizah turut sama menghantar borang pencalonan bertanding jawatan presiden sebagai persediaan jika Mahkamah Persekutuan turut memutuskan suaminya, Anwar didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lepas.

Bagi ahli-ahli dan penyokong-penyokong PKR, jika alasan itu digunakan, kenapa Anwar menghantar borang pencalonan. Sepatutnya, kata ahli-ahli dan penyokong-penyokong PKR (yang mungkin juga penyokong-penyokong Mohd Azmin Ali atau mereka sememangnya penyokong Azmin), Anwar sepatutnya tidak menghantar borang pencalonan untuk jawatan presiden, biarkan sahaja orang lain bertanding, jika benar PKR mengamalkan demokrasi.

Bila sebut Azmin, satu persoalan yang timbul, sampai bila Timbalan Presiden PKR itu perlu mengalah? Apakah Azmin perlu setia kepada Anwar hingga mengorbankan kepentingan politik beliau?

Biarpun ramai yang tidak senang dengan Azmin, tetapi harus juga diambil kira Ahli Parlimen Gombak itu banyak jasanya kepada PKR dan Pakatan Rakyat. Azmin turut menjadi mangsa fitnah dan caci maki serta diaibkan dengan berbagai tohmahan yang tidak dapat dibuktikan kebenarannya.

Azmin bukan sehari dua menyertai PKR. Beliau merupakan antara sosok yang bersama menubuhkan parti yang dahulunya dipandang sebelah mata oleh banyak pihak. Jasa Azmin kepada PKR bukan sedikit, jadi tidak salah jika beliau diberi peluang untuk mencuba nasib bertanding jawatan yang lebih tinggi dari apa yang disandangnya sekarang.

Perlu juga diingat, yang tidak senang dengan Azmin bukan ahli di peringkat akar umbi tetapi pemimpin atasan yang tidak habis-habis berpolitik, yang tidak sekadar menentang UMNO dan Barisan Nasional tetapi turut juga menjadikan rakan dalam satu parti sebagai musuh.

Di kalangan ahli peringkat akar umbi, Azmin bukan satu masalah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu disenangi akar umbi. Jadi jika akar umbi menerima Azmin, kenapa pemimpin atasan atau ahli keluarga Anwar mahu menyekat beliau? Adakah PKR itu milik ahli keluarga atau milik ahli-ahlinya?

Jika milik ahli, sepatutnya tidak disekat jika Azmin berhasrat bertanding jawatan presiden. Tetapi jika PKR adalah milik mutlak keluarga dari 'Istana Bukit Segambut', maka perlulah ditulis dalam perlembagaan parti bahawa orang luar dari keluarga itu hanya layak berada paling tinggi pun hanya sebagai timbalan presiden.

Ramai yang melihat, percaturan yang dibuat sekarang, Anwar masuk bertanding melawan Wan Azizah sebagai satu langkah menyekat kemaraan Azmin. Alasan yang diberikan Wan Azizah masuk bertanding mempertahankan jawatan yang disandangnya kerana persediaan jika Anwar tetap dihukum bersalah oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lepas.

Jika sedar Anwar bakal berdepan tindakan Mahkamah, kenapa hantar borang pencalonan beliau? Kenapa tidak membiarkan Wan Azizah mempertahankan jawatan yang disandangnya dengan menentang calon lain. Barulah demokrasi. Bukankah PKR memperjuangkan demokrasi dan menolak sekeras-kerasnya amalan nepotisme?

Kesimpulannya, ramai yang tidak berpuashati dengan keputusan yang diambil Anwar dan Wan Azizah. Kerana sebelum ini, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa pemilihan dalam parti itu sebagai 'pesta demokrasi' maka marilah kita sama-sama lihat 'pesta' ini yang dianggap 'Maharaja Lawak' oleh ahli dan penyokongnya sendiri.