Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan yang memasuki kawasan penempatan masyarakat Asli Batek di Kuala Koh pagi tadi telah mengambil sampel air di situ dan kawasan berhampiran untuk ujian.

Pengarahnya, Hamzah Mohamed ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan sampel air berkenaan diambil pagi tadi dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.

“Setakat ini kita tunggu hasil ujian dan analisis sampel air ini oleh Jabatan Kimia yang mana keputusannya pihak JAS cuba dapatkan dalam minggu ini,” katanya kepada Astro AWANI.

Hamzah memaklumkan sampel air diambil dari tiga lokasi iaitu air tandak, air dari tapak lombong di Aring 10, dan air dari kolam pelupusan lombong.

Ketiga-tiga sampel air ini sudah dihantar ke Jabatan Kimia Kelantan dan di Petaling Jaya untuk mendapatkan keputusan penuh jika air dari sumber berkenaan tercemar.

Sekiranya pencemaran dapat dikesan dalam kandungan air berkenaan, pihak JAS akan melakukan tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Hamzah juga memaklumkan sehingga kini pihaknya tidak menerima aduan secara rasmi pencemaran air daripada masyarakat orang asli Batek atau mana-mana pihak di kawasan terlibat.

Walau bagaimanapun, JAS Kelantan telah menggerakkan pasukannya untuk menjalankan pemantauan di kawasan terlibat.

Beliau juga memaklumkan tiada aktiviti perlombongan di kawasan Kampung Kuala Koh.