Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu akan mengambil sebanyak 160 sampel makanan secara rawak di tapak bazar Ramadan seluruh negeri untuk memastikan keselamatan dan kebersihan makanan yang dijual terjamin.

Pengarahnya, Dr Mohd Jusoh berkata antara sampel makanan yang diambil adalah lauk-pauk, kuih dan aneka jenis kerabu.

"Pada tahun lepas, sebanyak 166 sampel makanan telah diambil dan kita mengesan 43 sampel melanggar peraturan yang ditetapkan.

"Jabatan telah mengeluarkan sebanyak 101 kompaun dengan nilai yang telah dibayar RM8,118. Kami sangat berharap agar peniaga lebih mengutamakan kebersihan sepanjang mengendalikan makanan dijual pada kali ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada tahun ini, terdapat 4,677 tapak penjaja bazar Ramadan di 62 kawasan berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terengganu yang melibatkan seramai 9,108 pengusaha dan pengendali makanan.

Beliau berkata anggota dan penguatkuasa jabatan akan membuat pemantauan berterusan dan memberi nasihat kepada peniaga untuk memastikan makanan yang dijual tidak terdedah, pengendali makanan memakai pakaian yang lengkap dan bersih, serta tidak menjual semula makanan yang tidak habis pada hari sebelumnya bagi mengelak keracunan makanan.

"Kepada pengguna, gunalah kuasa anda sebagai pembeli untuk memilih gerai yang bersih dan makanan yang dijual tidak terdedah. Sebelum menjamah makanan, pastikan tiada bau yang kurang elok dan makanan masak sempurna.

"Sekiranya ada tanda-tanda keracunan makanan seperti sakit perut, muntah dan cirit-birit, segeralah ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan dan pertanyaan, boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu atau mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.

-- BERNAMA