Penggunaan sampel rambut dilihat sebagai langkah efektif bagi mengesan pengambilan dadah dalam kalangan pegawai, anggota polis serta pegawai baharu bermula tahun depan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohammed berkata, ini kerana rambut adalah anggota kekal yang tidak mudah berubah berbanding air kencing.

Menurutnya, rambut juga dapat mengesan penggunaan dadah jenis organik biarpun dalam tempoh yang lama.

"Ujian mengesan dadah ini memang sentiasa dilakukan kepada anggota polis yang baharu, Cuma cara kita hendak menguji berbeza. Dahulu kita menggunakan air kencing, sekarang ini kita hendak menggunakan rambut.

"Jika seseorang mengambil dadah contoh dadah organik, dia akan tinggal dalam badan selama tempoh berbulan-bulan dan kesan dadah ini juga ada pada rambut selain tidak akan hilang kerana menjadi sebahagian daripada tubuh pengambil dadah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Fiesta Sukan Rakyat Parlimen Pulai di Hospital Permai Kempas, Johor Bahru, Johor.

Pada Jumaat, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merancang menggunakan contoh rambut bagi mengesan penggunaan dadah dalam kalangan pegawai, anggota dan anggota baharu yang akan menyertai pasukan itu.

BACA: Sampel rambut digunakan untuk kesan dadah bagi calon ingin sertai PDRM