Terdesak mahu memenuhi syarat menjadi ahli sebuah kongsi gelap, empat pemuda bertindak nekad menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Bercham, Ipoh pada Selasa lalu.

Ketua Polis Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, tindakan empat lelaki berumur 16 sehingga 26 tahun itu bagaimanapun membawa padah apabila diberkas kurang 14 jam selepas menyamun.

Menurut beliau, dalam kejadian sekitar jam 2 pagi itu, dua daripada lelaki terbabit yang bersenjatakan parang telah memasuki kedai berkenaan dan mengambil wang tunai serta beberapa kotak rokok yang kesemuanya bernilai RM446.

“Namun, pada jam 4.30 petang hari yang sama, kesemua lelaki terbabit ditahan di dua lokasi berasingan di Bercham.

“Pasukan polis diketuai Inspektor Nizam telah buat serbuan di satu alamat di Bercham juga dan kita dapat tangkap empat orang, empat lelaki berumur antara 16 sehingga 20 tahun kesemuanya dari Ipoh juga kesemua mereka tidak ada rekod jenayah.

“Kita turut merampas sebuah kereta proton Iswara, dua telefon bimbit, lapan kotak kotak dan tujuh bilah parang. Mereka telah direman dan reman akan tamat pada Sabtu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh.

Tambahnya, keempat-empat lelaki terbabit melakukan jenayah itu bagi membolehkan mereka menyertai satu kumpulan kongsi gelap dikenali sebagai 'Geng Kok Wai'.