Suspek yang didakwa menyamun seorang wanita dalam sebuah lif di Stesen Aliran Transit MASSA (MRT), Taman Mutiara, Cheras, pada Khamis lalu direman selama seminggu bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata mahkamah membenarkan suspek direman bermula hari ini hingga 25 Feb depan.

Suspek berusia 26 tahun itu ditahan di Taman Cheras, di sini kira-kira jam 8.10 malam tadi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Khamis lepas, seorang wanita berusia 48 tahun ditumbuk serta ditendang beberapa kali dalam kejadian samun dalam lif di stesen MRT berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 pagi itu, suspek mengekori mangsa yang menaiki lif seorang diri sebelum bertindak menyerang serta melarikan barang milik mangsa.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dengan bengkak di dahi serta beberapa bahagian badan.

Rakaman rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan suspek memukul mangsa tanpa belas kasihan tular di laman sosial.