Polis menahan lima sekawan termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kejadian samun seorang penternak ayam di Jalan Sungai Lembu, Bukit Mertajam kira-kira jam 3 petang pada Jumaat.

Mereka terdiri daripada empat lelaki berumur 20 hingga 30-an dan seorang wanita yang berusia 25 tahun ditahan di empat lokasi berasingan sekitar daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS).

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian samun mangsa lelaki berusia 38 tahun itu.

Dalam serbuan di empat lokasi berkenaan, polis merampas beberapa peralatan seperti pisau pemotong daging, parang panjang, pisau lipat dan telefon bimbit dipercayai digunakan suspek untuk menakut-nakutkan mangsa sebelum melarikan barang berharga milik mangsa.

Suspek juga mengaku terlibat dalam beberapa kes samun di kedai runcit di kawasan SPT, SPS dan di Kulim, Kedah.

Nik Ros Azhan berkata suspek wanita yang ditahan adalah tunang kepada suspek pertama yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Kesemua suspek kini direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.