Tutup

#SandakanMemilih: Warga emas teruja pusat pengundian disediakan buggy

#SandakanMemilih: Warga emas teruja pusat pengundian disediakan buggy
TERSULAH (kiri) menaiki Buggy yang disediakan SPR di pusat pengundian SK Sungai Anib 1 Sandakan hari ini. Foto Ruzaini Zulkepli/AstroAWANI.
SANDAKAN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan perkhidmatan kereta Buggy untuk warga emas dan golongan orang kelainan upaya (OKU) sepanjang proses mengundi Pilihan Raya Kecil Sandakan yang berlangsung hari ini.

Bagi Tersulah Bangsawan, 63, dia amat berpuas hati dengan layanan petugas SPR terutamanya perkhidmatan Buggy yang memudahkan golongan warga emas untuk menjalankan tanggungjawab mereka.
"Terima kasihlah, kami bersyukur diberikan kemudahan untuk berjumpa tempat undi. Semua selesai, orang yang tidak kemampuan berjalan diberi kemampuan untuk tiba ke tempat mengundi," katanya ketika ditemui di SK Sungai Anib 1 di sini, pagi tadi.

Pada masa sama, dia yang berasal dari Kampung Gum-Gum Batu 16 memuji SPR kerana berjaya memastikan proses pada hari ini berjalan secara tersusun dan tahap keselamatan yang baik di sekitar pusat pengundian.
Sementara itu, Calon Bebas, Chia Siew Yung yang menggunakan lambang Kunci tiba di pusat mengundi SK Sungai Anib 1, pada jam 7.45 pagi tadi.

"Saya nampak semua berjalan lancar terutamanya cuaca pun cerah. Saya rasa dalam sejam lagi semua pengundi akan keluarlah kerana sekarang dalam tempoh orang berpuasa dan buat persediaan," katanya.



PRK Parlimen P. 186 Sandakan menyaksikan pertembungan lima penjuru iaitu Vivian Wong Shir Yee mewakili DAP, Datuk Linda Tsen Thau Lin (PBS) dan tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat dan Chia Siew Yung.