Tutup

Sanggup kayuh basikal lebih 15 km untuk lepas 'gian'

Sanggup kayuh basikal lebih 15 km untuk lepas 'gian'
Sebahagian penagih yang dicekup Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri pada Op Perdana di sebuah tempat yang dikenal pasti sebahagian 'hot spot' di Krubong, pada Khamis. - Foto BERNANA
MELAKA: Seorang lelaki yang sanggup mengayuh basikal sejauh 15 kilometer semata-mata untuk melepaskan 'gian' adalah antara 26 orang yang ditahan dalam Op Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri di Krubong di sini, pada Khamis.

Timbalan Pengarah AADK Melaka, A. Reuben berkata, lelaki berusia 54 tahun dari Duyong yang dipercayai penagih dadah diberkas dalam serbuan di kawasan yang dijadikan sarang menagih dalam operasi yang berlangsung dari pukul 7 pagi hingga 2 petang.
Beliau berkata kesemua mereka yang berusia lingkungan 20an hingga 60an itu dipercayai masuk ke kawasan berkenaan untuk mendapatkan bekalan.

"Kesemua mereka yang ditahan adalah lelaki dan didapati positif dadah jenis Opiate serta Methamphetamine dan AADK turut merampas beberapa paket plastik dipercayai berisi dadah serta alat penimbang.
"Selain di Krubong, kita juga melakukan serbuan di Kuala Linggi yang merupakan antara kawasan panas dan berjaya melakukan 18 tangkapan," katanya kepada pemberita selepas operasi itu di sini.

Reuben berkata kesemua individu tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, manakala lima lagi suspek yang merupakan Orang Kena Pengawasan (OKP) yang masih menagih dadah akan dituduh kerana melanggar syarat pengawasan yang ditetapkan.

Kesemua suspek dibawa ke Kompleks Kementerian Dalam Negeri Ayer Keroh di sini untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA