Terkejut! Itu reaksi awal sekumpulan lelaki yang sedang asyik memadu asmara dengan 'pelayan pelanggan' (GRO) apabila mengetahui kebanyakan gadis pelayan itu sebenarnya 'pondan jelita'.

Perkara tersebut diketahui pelanggan setelah sepasukan anggota polis membuat serbuan ke sebuah premis hiburan di Jalan Kuchai Lama, di sini, pukul 10.30 malam semalam.

Ketua Penolong Pengarah STAGG SAC Khairi Ahrasa berkata hasil pemeriksaan mendapati lima pondan yang ditahan telah melakukan pembedahan menukar jantina serta sukar dibezakan dengan wanita sebenar.

"Mereka antara 60 GRO warga Thailand dan Laos yang ditahan atas pelbagai kesalahan oleh sepasukan anggota STAGG Bukit Aman," katanya.

Turut ditahan seorang lelaki dan wanita tempatan iaitu pengurus premis bersama empat lelaki warga Bangladesh.

"Polis merampas dua resit perniagaan, sebuah buku catatan, 12 selendang berharga RM100, 10 selendang berharga RM50, dua mahkota, 28 botol minuman arak serta wang tunai sebanyak RM2,693," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 55(b) Akta Imigresen, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen dan Seksyen 135 Akta Kastam, katanya.