Sarawak akan memperkenalkan ujian penilaian psikologi sebagai syarat tambahan bagi pembukaan dan pendaftaran taman asuhan kanak-kanak (Taska) baharu di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteran Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, syarat tambahan kepada syarat-syarat sedia ada yang ditetapkan kerajaan persekutuan adalah sebagai usaha membendung kejadian penderaan kanak-kanak.

Menurutnya, ujian yang diwajibkan ke atas setiap pengasuh adalah penting bagi menentukan tahap kesihatan mental dan status emosi sosial bakal-bakal pengasuh kanak-kanak yang akan diambil bekerja di taska baharu nanti.

"Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh melakukan ujian penilaian psikologi itu, kalau tidak boleh, kita akan bekerjasama dengan pihak hospital kerajaan untuk mendapat khidmat pakar psikologi atau kita latih pegawai sehingga mampu mengendalikan ujian tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Destiny For Children Centre di sini pada Ahad.

Semakan oleh kementeriannya mendapati tidak ada syarat yang mengkehendaki bakal-bakal pengasuh menjalani ujian penilaian tahap kesihatan mental.

Beliau berkata JKM Sarawak telah diberikan tanggungjawab untuk memperincikan syarat tambahan baharu itu.

Beliau menggesa supaya pengusaha taska di negeri ini mendaftar taska masing-masing dengan JKM kerana ia satu keperluan di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 dan menjadi satu kesalahan jika gagal berbuat demikian.

Melalui proses pendaftaran JKM akan dapat menentukan samada taska-taska berkenaan mematuhi peraturan berhubung aspek keselamatan, keadaan rumah atau bangunan dan paling penting kelayakan pengasuh yang bertugas, tambah beliau.

-- BERNAMA