Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini memutuskan untuk memberi kebenaran bagi pengoperasian kedai gunting rambut mulai 9 Jun ini.

Bagaimanapun menurut pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, ia tertakluk kepada perkhidmatan menggunting rambut sahaja.

“Kami akan memberikan perincian bagi garis panduan. Kita perlu memastikan kontak adalah minimum dan faktor-faktor lain. Jadi tukang gunting kena ambil langkah berjaga-jaga. Inilah yang diambil kira,” katanya pada sidang media harian COVID-19 Sarawak di sini pada Khamis.

Jelas Uggah, prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan bagi perkhidmatan itu sedang diperhalusi dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.



Dalam pada itu, JPBN Sarawak turut memutuskan beberapa perkara berhubung pembukaan sektor lain menjelang tarikh tersebut.

Ujar Uggah, antara keputusan lain termasuk syarat kemasukan ke Sarawak bagi urusan perniagaan.

"Mereka yang berkunjung atas sebab itu perlu melampirkan jadual pergerakan untuk dipertimbangkan pihak berkuasa.

"Manakala, bagi penjawat awam yang perlu menghadiri mesyuarat di Semenanjung, Sabah dan Labuan, surat pengesahan perlu didapati daripada ketua jabatan terlebih dahulu untuk mendapatkan maklumat perjalanan mereka.

“Bagi kedua-dua kumpulan ini, mereka tidak akan dikenakan SOP sekiranya mereka adalah dalam kalangan rakyat Sarawak yang memasuki negeri itu,” tambahnya.

Sementara itu, beberapa buah taman perlindungan semulajadi bakal dibuka semula pada 8 Jun ini iaitu Samajaya, Bukit Lima, Bukit Sembiling dan Piasau.