Sarawak telah berjaya mengurangkan kadar kemiskinan mutlak di kalangan penduduknya termasuk mereka yang tinggal di kawasan pedalaman, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menyentuh laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan peratusan golongan berpendapatan rendah di Sarawak adalah lebih tinggi daripada angka peringkat nasional, beliau berkata metodologi untuk mengukur kadar kemiskinan harus disemak.

Beliau berkata ini kerana walaupun di peringkat nasional, kadar kemiskinan di kalangan golongan berkenaan telah menurun.

"Tetapi apa yang kita ingin tahu sekarang adalah kemiskinan sebenar dan kemiskinan mutlak. Bagi kemiskinan mutlak, kita telah menurunkan kadarnya, kata beliau pada majlis Makan Malam Bersama Komuniti di sini Jumaat malam.

Beliau menjelaskan bahawa kemiskinan mutlak bermaksud seseorang tidak mempunyai apa-apa tetapi penduduk di pedalaman Sarawak mempunyai tanah, yang merupakan aset.

"Mereka tidak mempunyai pendapatan yang tinggi kerana mereka belum memanfaatkan aset mereka. Kenapa mereka tidak dapat memanfaatkan aset mereka ... kerana mereka kurang pengetahuan. Itu sahaja, " katanya.

Itulah sebabnya kerajaan negeri memberi penekanan kepada pendidikan rakyat kerana dengan mempunyai pendidikan mereka mempunyai pengetahuan tentang cara mengubah atau memanfaatkan aset mereka untuk menjana hasil.

Pada Rabu, sebuah harian berbahasa Inggeris melaporkan bahawa Pelapor Khas PBB mengenai Kemiskinan Tegar dan Hak Asasi Manusia, Philip Alston telah menyediakan laporan yang menyatakan peratusan golongan berpendapatan rendah di Sarawak adalah lebih tinggi daripada angka di peringkat nasonal.

Di peringkat nasional, 8.8% isi rumah di Malaysia mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM2,000.

"Keadaan ini lebih teruk di negeri-negeri tertentu," kata laporan itu yang menyatakan bahawa di Sarawak, 15.5% daripada isi rumah mempunyai jumlah pendapatan bulanan keluarga kurang daripada RM2,000.

-- BERNAMA