Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak mencatatkan 27 kes kebakaran rumah panjang tahun ini, dengan kebanyakan kes berlaku di utara Sarawak melibatkan rumah panjang berusia 25 hingga 30 tahun, kata pengarahnya Khirudin Draman.

Beliau berkata menurut kajian, 50 peratus daripada kebakaran itu berpunca akibat lambat sedar, 30 peratus daripada dapur rumah dan 20 peratus disebabkan penggunaan peralatan elektrik serta kanak-kanak bermain mancis.

Bercakap pada sesi dialog bersama Pengarah Jabatan Bomba Sarawak di sini hari ini, beliau berkata sebanyak 25 kes kebakaran direkodkan pada tahun 2017 manakala pada tahun 2016 pula 26 kes.

Sementara itu, Khirudin berkata enam buah rumah panjang di Sungai Asap di sini dipilih bersama dengan Persatuan Perlindungan Kebakaran Malaysia (MFPA) untuk tujuan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Kita (Jabatan Bomba dan Penyelamat) ada dapat sumbangan daripada mereka (MFPA) iaitu 200 alat pemadam api, 50 pengesan asap dan satu pam angkut untuk kita sumbangkan selain mengadakan ceramah cara menggunakan alat tersebut," katanya.

-- BERNAMA