Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Isnin mengumumkan dua kematian terbaharu COVID-19 di negeri ini.

Ini menjadikan jumlah kematian akibat COVID-19 di Sarawak meningkat kepada tujuh orang.

Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata kedua-dua mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Kedua-dua kes kematian ini masing-masing di Hospital Umum Sarawak dan Hospital Miri,” katanya di sini pada Isnin.

Pada masa sama, beliau berkata, Sarawak mencatatkan enam lagi kes positif COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 135 kes.

Katanya, tiga daripada enam pesakit terbabit kini dirawat di Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri (dua) dan Hospital Sibu (satu).

Beliau berkata, seramai 50 orang dikategorikan sebagai individu dalam siasatan (PUI) pada Isnin menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 1,176 kes.

Daripada jumlah itu, 977 kes dilaporkan negatif manakala 64 kes lagi masih menunggu keputusan ujian makmal.