KUALA LUMPUR :Dua kematian akibat COVID-19 dicatatkan di Sibu dalam perkembangan terbaharu wabak itu di Sarawak.

Menurut laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Sabtu, kedua-dua kes yang direkodkan hari ini adalah melibatkan lelaki dan wanita warga tempatan.

"Kes kematian ke-25 merupakan kes ke-2,947 melibatkan seorang perempuan warga tempatan (Sarawak) berumur 35 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 22 Januari 2021.

"Kes dibawa ke hospital kerana mengalami masalah kesukaran bernafas. Mengikut sejarah penyakit, kes mempunyai simptom demam, batuk dan kahak berdarah.

"Kes telah disahkan meninggal dunia pada 23 Januari 2021 jam 5.20 pagi di Hospital Sibu," memetik kenyataan tersebut.

Ujar JPBN Sarawak, kes kematian ini turut mempunyai ko-morbid seperti penyakit darah tinggi dan obesiti.

Manakala, tambah kenyataan itu lagi, kes kematian ke-26 pula melibatkan lelaki berusia 74 tahun yang telah dimasukkan ke Hospital Sibu pada 14 Januari 2021.

"Kes ini dimasukkan ke Hospital Sibu kerana saringan rt-PCR COVID-19 pada 13 Januari 2021 di pusat jagaan dan telah didapati positif pada 14 Januari 2021.

"Bermula 18 Januari 2021, keadaan kesihatan kes mula menurun dan memerlukan bantuan
pernafasan. Kes telah disahkan meninggal dunia pada 23 Januari 2021 jam 10.02 pagi," jelas JPBN Sarawak.

Dalam pada itu, JPBN Sarawak memaklumkan negeri itu secara keseluruhannya mengesan 193 kes positif COVID-19 baharu. Menjadikan jumlah keseluruhan wabak itu meningkat kepada 3,124 kes setakat ini.

"138 dicatatkan di Sibu, 10 di Bintulu, sembilan di Kuching dan Dalat, tujuh di Kapit, empat di Sebauh, dua di Kanowit dan Selangau, manakala satu masing-masing di Bau dan Limbang," tambah kenyataan sama.

Sementara itu, lapan kluster dilaporkan masih aktif di Sarawak iaitu Kluster Rakut, Kluster Bukit Sekubong, Kluster Jelita, Kluster Pasai dan Kluster Keranji Tabuan.

Baki yang lain adalah Kluster Bah Sayap, Kluster Stutong dan Kluster Mador.

Antara lain, daerah Bintulu telah bertukar status dari Kuning ke Jingga setelah mencatatkan sebanyak 29 kes dalam tempoh 14 hari yang lepas.

Selain itu, pertukaran status turut dilaporkan di Daerah Bau iaitu Hijau ke Kuning  setelah satu kes baharu dilaporkan dalam tempoh yang sama.