Sarawak hari ini melaporkan satu lagi kes positif terbaharu COVID-19 dikesan menjadikan jumlah kes positif keseluruhan setakat ini meningkat kepada 608 kes.

Sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan, kes tersebut merupakan kes import yang melibatkan seorang warganegara yang tiba dari Manila, Filipina pada 17 Julai 2020.

Kes disahkan positif pada Ahad (19 Julai 2020) selepas menjalani ujian Rt-PCR sehari sebelumnya dan kini kes dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Pengesanan kontak dan penyiasatan kes masih dijalankan buat masa ini.

Berikut merupakan lima tumpuan yang perlu anda tahu menerusi kenyataan JPBN Sarawak pada Isnin:

1. Penangguhan pembukaan semula sesi persekolahan di daerah Padawan, Sarawak melibatkan dua buah sekolah menengah dan 23 sekolah rendah. JPBN Sarawak mengumumkan bahawa sesi persekolahan akan bermula 3 Ogos 2020.

2. Bagi kemasukkan warganegara dan bukan warganegara dari luar negara ke Sarawak, mereka dikehendaki menjalani ujian rT-PCR tiga hari sebelum masuk ke Malaysia. Setibanya di Sarawak, mereka wajib menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang disediakan.

3. Tiada kes sembuh dan discaj dilaporkan menjadikan jumlah kes sembuh dan discaj kekal 554 kes atau 91.12 peratus setakat ini.

4. Pengesanan kontak rapat tujuh kluster aktif melibatkan kluster tapak pembinaan, kluster syarikat kejuruteraan, kluster Jupiter, kluster Mambong, kluster pusat perubatan, kluster Stutong dan kluster Jeti diteruskan.

5. Proses saringan sebelum ini juga dijalankan melibatkan saringan di 110 tapak pembinaan seluruh negeri, saringan di tiga buah ladang melibatkan kawasan Sri Aman dan Lubok Antu, Saringan secara rawak Point of Entry (POE) melibatkan 985 sampel dan saringan untuk 2439 guru yang tiba di Sarawak.