Kerajaan negeri Sarawak terbukti berjaya menjaga kepentingan Islam dan pada masa sama tidak mengetepikan agama lain, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menarik perhatian bahawa walaupun dengan kepelbagaian agama, orang Islam dan bukan Islam begitu saling menghormati di negeri ini.

"Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan sebelum ini Tun Abdul Taib Mahmud berjaya berikan kesyumulan kepada Islam tetapi masih menjaga bukan Islam, dan mereka bebas dengan agama mereka," katanya ketika berucap pada tinjauan mesra di Masjid Al-Abiyad, Matang Jaya, Petra Jaya, di sini, malam Rabu.

Beliau menegaskan Islam perlu dilihat sebagai agama yang mengajak kepada kebaikan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan RM3 juta kepada masjid itu yang kini dalam pembinaan.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut berkata sebuah balai polis akan dibina bagi manfaat penduduk Matang Jaya.

Hadir sama calon Barisan National (BN) bagi kerusi Tupong, Fazzrudin Abd Rahman.

Terdahulu, Ahmad Zahid menunaikan solat Maghrib dan Isyak di Masjid Al-Muhajirin, kira-kira satu kilometer dari Masjid Al-Abiyad.