Sarawak akan mengekalkan tarif air dan elektrik seperti mana yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg menerusi pembentangan Belanjawan Sarawak 2020 hari ini.

Peningkatan kadar tarif, jelasnya, hanya akan melibatkan golongan pembekal bekalan tenaga dan juga air.

Menurutnya, kerajaan negeri telah berusaha bersungguh-sungguh dalam mengembangkan aliran pendapatannya bagi mengekalkan momentum pembangunan negeri.

Ia terutamanya di kawasan luar bandar yang memerlukan pembiayaan lebih besar.

Katanya, sebagai sebahagian usaha kerajaan negeri untuk mengembangkan aliran hasilnya, kerajaan juga merancang menyemak semula tarif bagi abstraksi air mentah daripada satu sen bagi setiap meter padu kepada 2.5 sen setiap meter padu, berkuat kuasa Januari tahun depan.

Abang Johari berkata demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2020) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.