Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub yakin Sarawak mampu menjadi pengeluar beras utama di Malaysia.

Beliau berkata tiada masalah untuk Sarawak meneruskan agenda pembangunan pertanian terutama sektor pengeluaran padi dan beras kerana negeri itu diyakini berpotensi menjadi jelapang padi negara.

Bagaimanapun, ia bergantung dengan kerjasama antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat, katanya.

"Kalau negara lain boleh maju seperti Thailand, kenapa tidak Sarawak kerana ia boleh menjadi negeri maju dalam sektor pertanian.

"Kita yakin Sarawak mampu menjadi pengeluar beras utama di Malaysia," katanya pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Amanah Negara (Amanah) Sarawak di sini, malam tadi.

Jelasnya, antara faktor penyumbang keupayaan negeri itu mengeluarkan beras ialah keluasan kawasan pertanian penanaman padi.

"Negeri ini boleh bergerak seiring dengan pengeluar utama seperti Selangor, Kedah dan Kelantan.

"Malah Sarawak mempunyai keupayaan meningkatkan 'food security' (bekalan makanan) negara," katanya.

Susulan itu, Salahuddin berkata kementeriannya akan berbincang mengenai ruang kerjasama dua hala yang boleh dicapai dengan Kerajaan Negeri Sarawak.

Salahuddin kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Sarawak sejak dilantik menjadi menteri Kabinet.

Beliau akan mengadakan kunjungan hormat kepqda Ketua Menteri Sarawak pada jam 9.30 pagi Jumaat.

Beliau juga dijadual melawat Projek Ladang Kontrak Kampung Sungai Mata di Samarahan dan Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Tanjung Bako.