Sarawak akan meminta kerajaan Persekutuan untuk meminda Seksyen 3(3) dan Seksyen 4, Akta Laut Wilayah 2012 di mana Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem berkata ia bukan sahaja tidak berperlembagaan tetapi digubal tanpa rundingan dengan negeri itu.

Dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini pada Rabu katanya, Seksyen 3(3) Akta itu menyebut bidang kuasa bahagian laut negeri yang berdampingan dengan pantai wilayah itu tidak melebihi tiga batu nautika diukur dari garis air surut.

"Kerajaan negeri tidak dapat melihat apa-apa justifikasi mengapa bagi negara (Malaysia), lebar laut wilayah Malaysia adalah 12 batu nautika tetapi hanya tiga batu nautika bagi Sabah dan Sarawak.

"Lebih-lebih lagi, tiada justifikasi diberikan mengapa pada masa Darurat, perairan wilayah harus 12 batu nautika tetapi apabila tiada Darurat, lebar perairan wilayah terhad kepada tiga batu nautika sahaja," katanya.

Berikutan pengurangan had lebar, katanya, hak negeri untuk sumber perikanan, marin dan sumber mineral, lokasi pelancongan di kawasan laut dan lain-lain akan dihadkan kepada hanya tiga batu nautika dari pinggir pantai wilayahnya.

Adenan berkata jika kerajaan Persekutuan mahu mana-mana tanah negeri untuk tujuan kerajaan pusat maka ia perlu mematuhi peruntukan Bab 4 Bahagian IV Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata semasa Proklamasi Daurat 1969 masih berkuat kuasa, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), No 7, 1969 telah diperbuat dan dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ia mula berkuat kuasa pada 10 Ogos 1969 untuk menetapkan lebar laut wilayah Malaysia hendaklah 12 batu nautika bagi segala maksud.

Apabila proklamasi tersebut ditamatkan kuatkuasanya oleh kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada 24 Nov 2011, Parlimen telah meluluskan Akta Laut Wilayah 2012.

Menurut Mukadimah Akta itu, ia telah diluluskan kerana menurut kuasa Fasal (7) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu), No.7, 1969, akan terhenti berkuat kuasa apabila habis tempoh enam bulan bermula dengan tarikh Proklamasi Darurat terhenti berkuasa kuasa, katanya.

Oleh demikian, Adenan berkata tidak ada undang-undang yang menetapkan lebar perairan wilayah Malaysia.

Beliau juga berkata kerajaan negeri tidak pernah dirujuk sebelum akta tersebut diluluskan di Parlimen.