Sarawak Multimedia Authority akan membekalkan satu alat pengesan kepada Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam mengesan individu yang mempunyai simptom COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi JPBN Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, alat pengesan itu akan dipasang di tangan bagi membolehkan pihak jawatankuasa mengesan sekali gus membuat pemetaan lokasi panas wabak tersebut.

Jelas beliau, alat pengesan itu juga akan memantau dan mengesan mana-mana lokasi lain atau majlis-majlis yang pernah dihadiri individu yang positif COVID-19.

"Saya ingin mengumumkan bahawa SMA akan membantu JPBN dalam pengesanan digital untuk mengesan sesiapa yang telah dikenal pasti untuk menjalankan kuarantin di rumah.

"Malah, pemetaan digital juga digunakan SMA untuk mengenal pasti lokasi panas jangkitan COVID-19. Perkara ini akan membantu mereka untuk mematuhi syarat-syarat kuarantin yang telah ditetapkan. Ini bagi mengelakkan virus ini dari terus merebak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan COVID-19 di Sarawak pada Jumaat.