Sarawak sedang merangka program yang lebih berkesan untuk membasmi rabies tahun hadapan, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata sebaik sahaja siap, program itu yang dirangka berdasarkan pengalaman Sarawak berhadapan rabies sepanjang tiga tahun lepas, akan dibentangkan kepada kabinet negeri untuk kelulusan.

Antara pengajaran diperoleh daripada pengalaman tiga tahun lepas itu ialah keperluan menghasilkan satu strategi baharu dalam konteks pengurusan anjing dan haiwan, katanya.

"Diharap ia boleh dilaksanakan secepat mungkin kerana menjelang Januari 2020 kami akan memulakan operasi fasa kedua," katanya dalam ucapan di majlis malam penghargaan untuk semua agensi dan pihak yang terlibat dalam operasi rabies tahun ini, di sini Ahad malam.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, antara program baharu yang hendak dilaksanakan ialah mewujudkan "kawasan lali" rabies sepanjang sempadan Sarawak-Kalimantan.

Beliau berkata jumlah kos operasi rabies untuk 2019 ialah RM22.9 juta yang mana RM6.9 juta disumbangkan Kerajaan Persekutuan.

"Sarawak menyasarkan tiada lagi korban manusia oleh rabies dalam 2021 sementara dalam 2025 tiada lagi kes positif rabies," katanya.

-- BERNAMA