Kerajaan negeri Sarawak akan terus komited dalam usaha memerangi rasuah di negeri itu khususnya melibatkan industri pembalakan haram.

Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, berkata, sejak mengambil alih tampuk pentadbiran negeri itu 15 bulan lalu, pelbagai dasar baharu dilaksanakan dalam usaha memerangi aktiviti haram itu.

Antaranya, tiada lagi lesen baharu diberikan kepada syarikat-syarikat pembalakan di Sarawak selain tidak lagi membenarkan penerokaan baharu.

"Saya ingin menghentikan pencabulan terhadap hutan-hutan kami. Saya ingin menghentikan kemusnahan terhadap alam sekitar kerana isu ini mempunyai kaitan dengan rasuah." katanya ketika berucap pada sesi plenari pada Persidangan Antirasuah Antarabangsa (IACC) ke-16 di Putrajaya.

Adenan berkata, usaha memerangi pembalakan secara keseluruhannya berjaya apabila lebih ramai pihak ditahan dan balak haram dirampas.

"Kami telah membanteras pembalakan haram sehingga berjaya menutup lebih 30 kilang pembalakan seluruh negeri. Kami berjaya menghalang balak-balak ini diangkut keluar sehingga industri pembalakan haram ini menemui jalan buntu," katanya.

Dalam pada itu, Adenan menyeru kerjasama daripada semua pihak terutamanya badan bukan kerajaan untuk tampil membantu usaha mengekang rasuah dalam industri berkenaan.