Kerajaan negeri Sarawak menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) namun ia perlulah mengikuti Prosedur Operasi Standard (SOP) bersesuaian dengan keadaan semasa dan kesesuaian negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pihaknya sedang meneliti SOP untuk sektor ekonomi di Sarawak beroperasi semula.

"Sekarang kita mengkaji dengan teliti SOP bagi aktiviti perniagaan yang dibenarkan beroperasi semula selepas pemain industri serta pemegang taruh memahami SOP yang ditetapkan," katanya.

Mengulas lanjut dalam sidang media di Kuching pada Selasa, kata Uggah strategi PKPB Sarawak terbahagi kepada tiga peringkat iaitu penyelarasan, kesiapsiagaan dan operasi.

Strategi ini meliputi kajian kepada sektor ekonomi yang boleh beroperasi semula di zon hijau, manakala pengawalan operasi di zon kuning dan merah.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata walaupun belum ada garis masa tetap untuk sektor ekonomi dibenarkan beroperasi tetapi beliau yakin Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempunyai perancangan untuk membuka beberapa sektor ekonomi negeri ini secara berperingkat.