Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) telah bersiap sedia untuk menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November hingga Mac tahun hadapan.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Douglas Uggah Embas berkata persiapan yang dibuat adalah dari aspek kekuatan pegawai dan kakitangan, logistik dan pusat pemindahan serta bekalan makanan.

Beliau, yang juga pengerusi JPBNS, berkata sebanyak tujuh agensi akan terlibat dengan seramai 15,152 pegawai dan anggota termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan seramai 6,212 orang, Polis DiRaja Malaysia (2,994) Jabatan Bomba dan Penyelamat (1,308) dan Angkatan Penyelamat Malaysia (1,210).

Sebanyak lima helikopter akan digunakan iaitu masing-masing dua daripada ATM dan Bomba dan sebuah daripada PDRM.

"Di samping itu sebanyak 283 bot, 109 ambulans, 549 kenderaan pacuan empat roda, 172 lori dan lima drone akan digunakan untuk kerja-kerja menyelamat dan penghantaran bekalan makanan kepada mangsa banjir," katanya pada sidang media di sini hari ini. Sebelum itu, Uggah mempengerusi Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Menurut Uggah, sebanyak 610 pusat pemindahan mangsa banjir akan disediakan di seluruh negeri yang mampu memuatkan 203,940 orang.

Jabatan Kebajikan Masyarakat pula akan menyediakan pangkalan hadapan di 16 kawasan iaitu Kuching (2), Kapit (4), Bintulu (3) dan Miri (7).

"Semua Residen diarah supaya bersiap siaga dan Bilik Gerakan Banjir di semua bahagian akan diaktifkan pada bila-bila masa," tambah beliau.

Uggah menambah selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan bencana Negeri beliau akan melihat isu-isu berkaitan pengurusan bencana dan mengambil langkah sewajarnya bersama jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan jentera pengurusan bencana di semua peringkat dapat berjalan dengan lancar.

-- BERNAMA