Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melaporkan tiada pertambahan kes positif terbaharu COVID-19 di Sarawak.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, jumlah kes positif di negeri itu kekal dengan 678 kes setakat ini.

Selain itu, lima kes pulih dan dibenarkan discaj di Hospital Umum Sarawak (HUS) turut dilaporkan menjadikan jumlah kes sembuh dan discaj meningkat kepada 599 kes atau 88.35 peratus.

Manakala 15 kes baru Person Under Investigation (PUI) dilaporkan dan tiada kes masih menunggu ujian makmal.

Berikut merupakan lima perkara penting kenyataan JPBN Sarawak hari ini;

1) Sarawak masih merekodkan 10 kluster aktif COVID-19.

2) Kluster Sentosa mencatatkan jumlah kes tertinggi setakat ini dengan 31 kes positif.

3) 60 kes masih menerima rawatan dalam wad isolasi dan jumlah kematian kekal dengan 19 kes atau 2.80 peratus.

4) Sembilan proses saringan secara rawak terus dijalankan antaranya melibatkan 22 fasiliti kesihatan seluruh negeri, lima klinik kesihatan di Kuching dan 148 tapak pembinaan.

5) 1834 kenderaan diperiksa menerusi sekatan jalan raya antara zon satu dan dua yang diadakan di dua lokasi melibatkan daerah Simunjan dan Sri Aman pada 1 sehingga 2 Ogos 2020.