KUCHING:Satu jawatankuasa bertindak bersepadu akan ditubuhkan bagi mengukuhkan pemantauan terhadap hal-hal berkaitan sumber daging halal di Sarawak.

Langkah itu diambil bagi memulihkan semula keyakinan rakyat yang tercalar ekoran sindiket kartel daging haram baru-baru ini.

Menurut Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, kerajaan negeri memandang serius perkara itu dan menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Agama Islam Sarawak untuk turut serta dalam penguatkuasaan tersebut.

“Penubuhan jawatankuasa ini bagi menjalankan pemantauan dari masa ke masa terhadap premis-premis yang menguruskan daging dan ayam serta mengesahkan kesahihan produk terutama dalam aspek halal.

“Kerajaan negeri mengambil berat tentang hal ini dan menyokong apa jua tindakan oleh pihak berkuasa berwibawa khasnya JAKIM dalam menangani isu ini,” katanya.

Sementara itu, Abdul Rahman juga menyokong penggunaan teknologi moden dalam proses penyembelihan kerana kaedah moden yang digunakan adalah mematuhi hukum syariah yang ditetapkan.

“Sarawak kini juga mengaplikasi penggunaan teknologi ketika proses penyembelihan dan ia menjamin dari segi kebersihan dan proses penyediaan daging.

“Malah kakitangan yang menguruskan pusat itu dan kaedah pemprosesan sehingga pembungkusan dijalankan adalah mengikut saranan yang ditetapkan,” tambahnya.

Selain itu, Abdul Rahman berharap agar masyarakat Islam Sarawak lebih peka semasa membuat pembelian daging halal.

Beliau turut tekankan aktiviti import ayam daripada luar negara ke negeri itu telah dihentikan berikutan bekalan dalam negeri yang mencukupi.