Sarawak akan terus menuntut hak mendapatkan semula peruntukan satu pertiga kerusi Parlimen daripada Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu penting demi mengembalikan kedudukan Sarawak dan Sabah di Dewan Rakyat selepas ketiadaan Singapura.

Antara lain ujarnya, jika Sarawak dan Sabah tidak mempunyai atau memiliki kurang daripada satu pertiga kerusi parlimen, sebarang pindaan perlembagaan akan dilakukan berdasarkan kepentingan Semenanjung yang memiliki dua pertiga kerusi Dewan Rakyat.

“Sabah dan Sarawak sepatutnya mesti mengekalkan satu pertiga daripada 222 kerusi dan sekiranya ini tidak berlaku, agihan kuasa dalam parlimen hanya akan bergantung kepada Semenanjung.

“Kita (Sarawak) tahu perlembagaan boleh dipinda sekiranya mereka memiliki lebih daripada dua pertiga, Sabah dan Sarawak kurang satu pertiga, perlembagaan boleh dipinda,” ujarnya.

Semasa penubuhan Malaysia pada 1963, Semenanjung menguasai dua pertiga kerusi parlimen dan satu pertiga diwakili Sarawak dengan 24 kerusi, Sabah 16 kerusi dan Singapura dengan 15 kerusi.

Namun, apabila Singapura keluar dari Malaysia pada 1965, sebanyak 15 kerusi parlimen diwakili tidak diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.

Ketika ini terdapat 31 Ahli Parlimen dari Sarawak dan 25 Ahli Parlimen dari Sabah di Dewan Rakyat.