Tutup

Sarjan, Lans Koperal ditahan kes terima suapan RM9,700

Sarjan, Lans Koperal ditahan kes terima suapan RM9,700
SPRM Negeri Kelantan menahan tiga individu termasuk dua anggota polis bagi membantu siasatan kes menerima wang suapan bernilai RM9,700. -Gambar hiasan
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Kelantan semalam menahan tiga individu termasuk dua anggota polis bagi membantu siasatan kes menerima wang suapan bernilai RM9,700.

Menurut sumber, kedua-dua anggota polis berpangkat Sarjan dan Lans Koperal yang masing-masing berusia 27 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang dan 6.20 petang manakala lelaki yang berusia 45 tahun tersebut pula ditahan pada pukul 10.45 malam.
Ketiga-tiga lelaki tersebut ditahan di Pejabat SPRM Negeri Kelantan selepas hadir memberi keterangan.

Jelas sumber, siasatan awal mendapati kedua-dua anggota polis tersebut telah menerima wang suapan sebanyak RM9,700 daripada seorang lelaki sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kesalahan memiliki air ketum.
Tambah sumber, SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap kesemua suspek di Mahkamah Majistret Kota Bharu pagi ini.

Kata sumber lagi, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Pengarah SPRM Negeri Kelantan, Ramli Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan.