Seorang anggota polis berpangkat sarjan maut selepas motosikal yang ditunggangi hilang kawalan di Kilometer 55 Jalan Kuala Terengganu-Kampung Raja pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 pagi, mangsa, Ishak Ibrahim, 59 tahun, yang bertugas di Mahkamah Trafik Kuala Terengganu, meninggal dunia pada 12.30 tengahari ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Abd Razak Hasan berkata, kemalangan itu berlaku selepas motosikal jenis Honda Wave yang dinaiki mangsa dari arah Kampung Raja menghala ke Kuala Terengganu terbabas dan akibatkan mangsa terjatuh.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan di dada serta patah tulang peha dan tangan kiri," katanya.

Abd Razak juga meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengankutan Jalan 1987.

Mayat mangsa dibawa ke unit forensik hospital tersebut untuk dibedah siasat.