Tutup

Sarjana dari penjara: Menanti pengampunan demi mengejar impian

Sarjana dari penjara: Menanti pengampunan demi mengejar impian
Perit getir yang diharungi Halim menjadikan pemuda itu begitu tajam pemikirannya, psikologinya dan sangat fokus kepada pembelajarannya. - Gambar hiasan
KAJANG: Sebelum menjejakkan kaki ke Penjara Kajang, penulis menyangka mungkin Abdul Halim menyambung pelajaran hanya kerana sekadar mengisi masa yang terluang atau mungkin tiada apa lagi yang mampu dilakukan di penjara yang serba kekurangan.

Namun ternyata ia menyimpang dari semua itu.

Halim sememangnya manusia yang benar-benar sedang memburu ilmu, ternampak kecekalan di matanya. Lenggok bahasa tubuhnya bukan seperti insan yang pernah berputus asa kerana dipenjarakan.

Hampir empat jam penulis menghabiskan masa bersama Halim di penjara Kajang.
Banyak yang dikongsikan kisah hitam kehidupannya yang lampau.

Mendengarnya mampu menimbulkan keinsafan kepada sesiapa sahaja, namun itulah roda kehidupan.
BACA: Sarjana dari penjara

Secara peribadi, penulis merasakan kesukaran dan perit getir yang diharungi oleh Halim mungkin menjadikan pemuda itu begitu tajam pemikirannya, psikologinya dan sangat fokus kepada pembelajarannya.


Orang yang buta huruf dahulunya, kini pemegang ijazah sarjana.

Tercetus dalam pemikiran kita, sampai ke mana yang mampu dibawa Halim dengan sarjana yang dimilikinya?

Halim bukan seperti banduan lain yang tahu bila tarikh bebas.

Namun baginya, itu bukanlah matlamatnya memburu ilmu.

Mengenalinya membuatkan mana-mana insan akan mengetahui betapa besarnya jiwa dan impiannya untuk mencedok ilmu sebanyak mungkin selagi peluang itu diberikan.

Naib Presiden (Akademik) Universiti Terbuka Malaysia (OUM) berkata, tidak mustahil selepas ini Halim akan ditawarkan untuk menyambung pelarannya ke peringkat doktor falsafah.

Malah, Halim turut sama menyatakan hasrat tersebut ketika penulis bertanyakannya hal yang sama.

Hasratnya tersimpan utuh, untuk membuka gerbang perniagaan jika satu hari nanti diberi keampunan untuk bebas memandangkan dia adalah tahanan limpah sultan (banduan yang dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah tetapi tidak dijatuhkan hukuman mati atas sebab banduan tersebut masih di bawah umur atau ditakrifkan sebagai kurang siuman).

Ia melambangkan betapa besarnya impian dan cita-cita Halim sekalipun dia sendiri tidak mengetahui tarikh bebasnya.

Mungkin suatu hari nanti Halim layak menerima pengampunan tersebut dan mengejar segala cita-citanya bagi menebus setiap kesilapannya yang lampau, segalanya mungkin ...